TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan membuat penilaian tahap kerosakan sektor pertanian dan menyelaras bantuan segera kepada petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah di Sabah.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata pegawai di bawah jabatan dan agensi kementerian itu akan turun padang di semua daerah terjejas, khususnya di kawasan pedalaman dan utara Sabah yang masih berdepan bencana itu ketika ini.
Beliau berkata, pegawai dari agensi yang berkaitan perlu turun padang bagi memastikan maklumat kerosakan tanaman, ternakan dan infrastruktur pertanian dapat dikumpulkan secara tepat dan menyeluruh.
“Langkah ini bagi membolehkan proses penyaluran bantuan dan pelaksanaan langkah pemulihan dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan selepas meninjau situasi banjir dan melawat mangsa, di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap melawat mangsa banjir bagi daerah ini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Panglima Antanom dan Dewan Sekokaj Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, di sini.
Selain Tenom, banjir turut melanda Sook, Nabawan, Beaufort, Membakut dan Sipitang bagi kawasan pedalaman, manakala Pitas, Paitan dan Kota Marudu di utara Sabah, selain beberapa lagi daerah lain, termasuk Tongod.
Jamawi berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat daerah bagi memastikan bantuan seperti bekalan makanan ternakan, benih tanaman dan sokongan teknikal dapat disalurkan dengan segera dan kepada di semua kawasan terjejas.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap kawasan pertanian bagi mengesan kerosakan lebih awal, selain membolehkan Pejabat Pertanian Daerah menyediakan bantuan bersasar untuk mengelakkan kehilangan hasil pertanian yang lebih besar.
“Kita juga menasihatkan pengusaha pertanian supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang musim tengkujuh.
“Mereka juga digalakkan melaporkan sebarang kerosakan atau ancaman banjir kepada Pejabat Pertanian Daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil segera,” katanya.
Kerajaan negeri, katanya komited memulihkan sektor pertanian di kawasan terjejas banjir agar pengusaha pertanian, penternak dan nelayan dapat kembali beroperasi secepat mungkin.
Beliau berkata, usaha itu bagi membantu mengurangkan impak ekonomi terhadap komuniti luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian dan perikanan.
“Pendekatan kerjasama di antara kementerian, agensi berkaitan dan komuniti tempatan adalah kunci bagi menghadapi musim tengkujuh ini.
“Semua pihak perlu sentiasa bersedia dan peka terhadap sebarang amaran awal bagi memastikan keselamatan nyawa serta kelangsungan ekonomi penduduk luar bandar terjamin,” katanya. – Info X