PAITAN: Di saat orang lain bertungkus-lumus menyelamatkan harta benda ketika banjir melanda, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan pula terpaksa menelan hakikat pahit apabila rumah sendiri hanyut dibawa arus deras.
Namun dalam suasana cemas dan pilu itu, mereka tetap mengenakan uniform serta berdiri di barisan hadapan menyelamatkan mangsa banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini.
Prebet (PA) Kishan Indet dan Prebet (PA) Junerin Udam berdepan ujian paling berat apabila kediaman mereka antara yang paling teruk terjejas, malah dilaporkan hanyut dan roboh sepenuhnya pada hari pertama kejadian.
Namun musibah itu tidak mematahkan semangat mereka.
Kishan bersama isterinya yang juga anggota APM tetap melapor diri ke pusat kawalan operasi sebaik menerima maklumat banjir walaupun keluarga mereka sendiri terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam keadaan bersiap siaga, pasangan itu membuat keputusan meninggalkan anak tunggal lelaki mereka di bawah jagaan keluarga terdekat bagi membolehkan mereka turun bertugas membantu mangsa.
“Kami jalankan tugas seperti biasa walaupun rumah sendiri terjejas.
“Keutamaan ketika itu adalah memastikan mangsa selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi Junerin pula, kehilangan tempat berteduh bukan alasan untuk menarik diri daripada operasi.
“Memang sedih lihat rumah hanyut, tetapi sebagai anggota APM kami perlu utamakan keselamatan penduduk terlebih dahulu,” katanya.

Difahamkan, seramai 29 anggota APM Paitan digerakkan dalam operasi banjir kali ini dan kebanyakannya turut berdepan situasi sama apabila rumah masing-masing dinaiki air.
Banjir di Paitan dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan lebih 24 jam sehingga menyebabkan paras sungai naik mendadak dan melimpah ke kawasan penempatan penduduk termasuk Kampung Sokoon dan Kampung Golong.
Keadaan itu memaksa beberapa keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka rosak, malah ada yang dihanyutkan arus deras. – Info X