LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 24 batang kayu disyaki hasil curi selepas dua bot dipintas dalam operasi di perairan Lahad Datu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, anggota Zon Maritim Lahad Datu mengesan dua bot kayu tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Sepagaya.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berwarna merah jambu dan hijau itu dikesan ketika rondaan Op PLUTO TIMUR 2/2013 dan Op TIRIS 3.0 hasil maklumat risikan.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kedua-dua bot terbabit memecut laju sebelum melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut menemukan empat batang kayu bakau dan 20 batang kayu potong di dalam kedua-dua bot berkenaan.
“Semua kayu itu dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki hasil curi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran serta Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki dan membawa barangan curi.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan RM8,000. Semua kayu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan jenayah maritim di perairan negara,” katanya.
Dzulfikhar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – Info X