Search

525 vape tidak berdaftar dirampas, nilai hampir RM14,000

February 26, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Sebanyak 525 produk peranti tembakau termasuk rokok elektronik (vape) tidak berdaftar dirampas dalam Operasi Taring Alpha 3 Tangkapan dan Rampasan yang dilaksanakan, baru-baru ini.

Operasi bersepadu itu membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Task Force Battalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM14,000.

Katanya, antara kesalahan dikesan ialah menjual vape yang tidak berdaftar dengan KKM selain pembungkusan serta pelabelan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Kita turut mengesan kesalahan mengiklankan produk peranti tembakau yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

“Semua 525 peranti vape yang dirampas ini bukan barang seludup, namun tidak berdaftar dan tidak mematuhi syarat ditetapkan termasuk ada yang tidak melalui proses kemasukan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026, di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan diambil hasil risikan bersama pasukan PGA dan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang.

“Penjual dan pengedar perlu memastikan produk berdaftar serta mematuhi garis panduan KKM.

“Jika gagal mematuhi syarat berkenaan, tindakan tegas termasuk rampasan dan pelupusan akan diambil,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama strategik bersama PGA penting bagi mengekang lambakan produk tidak berdaftar di pasaran sekali gus melindungi kesihatan awam.

“Semua peranti yang dirampas akan melalui proses pelupusan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya. – Info X