Search

Banjir di Beaufort semakin buruk

February 26, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menampung peningkatan mangsa banjir di daerah ini, pada Khamis.

PPS Masjid Darul Ikhlas Kampung Batandok Lubak itu dibuka mulai jam 12 tengah hari setelah PPS sedia ada di Dewan Dun Banir dan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon semakin penuh.

Keadaan banjir di pekan Beaufort pada Khamis

Pembukaan PPS baharu itu diisytiharkan Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort, Mohd Nazri Ajun.

Ketika ini, PPK Selagon menempatkan seramai 395 mangsa daripada 121 keluarga, manakala seramai 547 mangsa daripada 169 keluarga di PPS DUN Banir, kedua-duanya dibuka pada Rabu.

Secara keseluruhan, seramai 942 mangsa banjir membabitkan 290 keluarga dari 58 kampung terjejas banjir dipindahkan setakat Khamis.

Keadaan banjir di pekan Beaufort pada Khamis

Sementara itu, bacaan paras air Sungai Padas di daerah ini dilaporkan mencecah 10.2 meter setakat jam 12 tengah hari tadi, berbanding paras bahaya 8.7 meter.

Kawasan pekan turut lumpuh selepas laluan masuk dan sebahagian besar jalan, selain pejabat daerah, majlis daerah, premis perniagaan dan stesen kereta api terjejas akibat banjir. – Info X