KOTA KINABALU: Empat individu ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dalam operasi berasingan di Pejabat JPN Lahad Datu, Isnin lalu.
Mereka disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan pendaftaran kelahiran.
JPN Sabah menerusi laman sosial Facebook (FB) rasminya hari ini memaklumkan, tangkapan dilakukan hasil pemantauan dan penelitian terhadap beberapa permohonan yang mencurigakan.
Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 418 dan Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama serta Seksyen 33(1)(a) Registration of Births and Deaths Ordinance (Sabah Cap 123).
“Siasatan dijalankan kerana disyaki dengan sengaja membuat atau membenarkan kenyataan palsu bagi tujuan pendaftaran kelahiran,” menurut kenyataan berkenaan.
Semua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPN Negeri Sabah menegaskan sebarang cubaan mengemukakan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi. – Info X