Search

Remaja dikejarkan ke hospital selepas disengat haiwan berbisa

February 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dipercayai disengat haiwan berbisa di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 15 tahun itu dikatakan sedang melakukan aktiviti di air sekitar pantai berkenaan sebelum tiba-tiba mengadu sakit pada jari kaki kirinya akibat sengatan.

Remaja terbabit kemudian mendapatkan bantuan di Menara Penyelamat Pantai (MPP) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tanjung Aru kira-kira jam 6 petang.

Pegawai APM Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, anggota penyelamat pantai yang bertugas segera membuat penilaian awal terhadap mangsa.

“Pemeriksaan mendapati terdapat luka kecil pada jari kaki kiri mangsa dan dia dilaporkan meronta kesakitan dipercayai akibat bisa sengatan berkenaan.

Anggota APM memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum keluarga mangsa membawanya ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Mangsa diberikan rawatan awal dengan membersihkan luka, menyapu ubat antiseptik serta membalut menggunakan plaster sebelum dinasihatkan supaya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diangkat menggunakan ‘spinal board’ dan dibawa ke kenderaan penjaga sebelum dihantar ke hospital dengan kereta sendiri.

“Operasi yang dikendalikan enam anggota penyelamat pantai itu berakhir pada jam 6.10 petang dan keadaan dilaporkan terkawal,” katanya. – Info X