KOTA KINABALU: Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak ditahan dalam operasi berasingan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang, semalam.
Menerusi laman rasmi Facebook JIM Sabah hari ini, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu memaklumkan operasi di daerah Kota Kinabalu dan Penampang itu membabitkan 17 pegawai penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan ke atas 17 individu mendapati sembilan adalah warganegara Malaysia dan lapan warganegara asing.

“Daripada jumlah itu, dua warga asing iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, JIM Sipitang turut melaksanakan operasi berasingan di daerah berkenaan membabitkan 14 pegawai penguat kuasa.
“Seramai 20 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Tangkapan membabitkan warganegara Indonesia iaitu dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan,” katanya.

Selain itu, katanya turut ditahan dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan warga Filipina.
Menurut JIM Sabah, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan terhadap mana-mana individu, majikan atau pihak yang melindungi serta menggaji PATI.
Orang awam juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara. – Info X