KOTA KINABALU: Seramai 112 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sepanjang Januari hingga Februari tahun ini.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan di laman rasmi Facebook, malam ini, memaklumkan program pemindahan itu membabitkan 90 lelaki dewasa dan 22 wanita dewasa yang ditahan di Depot Imigresen Sabah.
Menurut kenyataan itu, semua tahanan terbabit sudah melalui proses perundangan di Malaysia serta melepasi proses verifikasi dokumen perjalanan oleh kedutaan asing sebelum dibenarkan pulang ke negara asal masing-masing.
“Antara warganegara yang mencatatkan peratusan tertinggi ialah Pakistan iaitu 51 peratus, diikuti Filipina (29 peratus), Vietnam (9 peratus), China (5 peratus) dan Thailand (3 peratus).
“Lain-lain warganegara seperti Laos, USA dan Indonesia masing-masing mewakili satu peratus daripada jumlah keseluruhan 112 tahanan,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap keadaan persekitaran dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah,” katanya. – Info X