Search

Ops Gempur Khas JSJN Sabah: Tokan Telipok Ria diberkas

February 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kegiatan seorang pengedar dadah yang aktif sejak dua bulan lalu di kawasan Taman Telipok Ria, Tuaran terbongkar selepas diberkas dalam Ops Gempur Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kelmarin.

Dalam operasi jam 12.50 tengah hari itu, sepasukan anggota JSJN IPK Sabah menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun di tepi jalan kawasan berkenaan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg hitam berzip yang dipegang suspek menemukan 58 tiub plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 16.60 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM1,790.

“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tuaran untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mengaku secara lisan identitinya sebagai Al Jibir Akram.

“Suspek turut mendakwa dia mengambil upah menjual dadah daripada seorang individu yang dipercayai tinggal di kawasan sama.

“Siasatan awal mendapati suspek mula aktif menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu di sekitar Taman Telipok Ria,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini ditahan di lokap IPD Tuaran bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman akan dibuat dan usaha mengesan pembekal dadah berkenaan sedang giat dijalankan.

“JSJN Sabah akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah selaras dengan moto kami, ‘Perangi Dadah, Lindungi Generasi’,” katanya. – Info X