Search

Kembara terjunam 20 meter dalam gaung, pemandu selamat

March 1, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Simpang 4, Jalan Bukit TV, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.07 malam itu, mangsa berusia 54 tahun, bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan bomba dan hanya mengalami kecederaan.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 8.25 malam, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kembara yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa sebelum diberi rawatan awal di lokask kejadian.

Menurutnya, mangsa yang berada di dalam kenderaan itu berjaya dibawa naik ke bahu jalan oleh pasukan bomba.

“Pasukan EMRS kemudian memberikan rawatan awal di lokasi sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.28 malam selepas bomba memastikan tiada bahaya lain di kawasan berkenaan,” katanya. – Info X