KOTA KINABALU: Suasana pilu menyelubungi tebing Sungai Kalansanan, Inanam, apabila seorang ibu tidak mampu menahan sebak melihat mayat anak lelakinya dibawa keluar dari sungai, kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Jainal Hasim, 34, yang sebelum itu ditemui tidak bernyawa berhampiran Jalan Pintas Kingfisher, kira-kira jam 10 pagi.
Ibu mangsa yang berada di lokasi kejadian berkata, anaknya ada meminta izin untuk keluar menemui rakannya, kelmarin.

“Saya sudah melarangnya, tapi dia kata tidak lama saja. Saya tak sangka itu kali terakhir saya dengar suaranya,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, anak bongsunya itu adalah tulang belakang keluarga dan selama ini banyak membantu menampung perbelanjaan rumah.

“Dialah yang selama ini memberi kami belanja. Sangat sedih… kenapa dia meninggalkan kami terlalu awal.
“Lebih-lebih lagi kita tidak lama lagi hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya sambil mengesat air mata.

Terdahulu, mayat mangsa diangkat keluar dari air dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati.
“Identiti si mati dikenal pasti lelaki tempatan berusia 34 tahun dan berstatus Pemastautin Tetap (pemegang Kad Pengenalan MyPR) dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi.
Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa. – Info X