Search

850 jenis hidangan buka puasa berkonsep Nusantara di SICC

March 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sekali lagi menjadi tumpuan sebagai tempat berbuka puasa yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa sempena Ramadan tahun ini.

Dengan sebanyak 850 jenis hidangan Asia dan Continental bertemakan Resipi Nusantara, SICC menawarkan pilihan yang banyak bagi memenuhi citarasa orang ramai bermula pada 26 Februari lalu hingga 18 Mac ini.

Disediakan sendiri pasukan kulinari SICC, hidangan ala buffet direka cukup menarik untuk berkongsi saat indah bersama orang ramai, menggalakkan kunjungan ulangan dan memberi pengalaman berbuka puasa sebagai memori sepanjang Ramadan kali ini.

Edisi tahun ini juga menyaksikan pelbagai pilihan kuih muih perayaan, gerai ala penjaja Asian yang diilhamkan daripada makanan jalanan dan resipi warisan yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Tidak ketinggalan, SICC juga menyediakan hidangan signature bagi mengimbangi di antara hidangan kebiasaan dan baharu sebagai tawaran kepada pengunjung untuk merasai sesuatu yang unik bagi setiap lawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Rosmawati Lasuki, berkata pengalaman berbuka puasa bersama SICC ditingkatkan setiap tahun dengan tumpuan terhadap pelbagai jenis pengunjung.

“Bagi 2026, tumpuan kita adalah pelbagai dari kolaborasi bermakna dengan agensi tempatan dan nasional dan mewujudkan persekitaran di mana keluarga, komuniti dan kumpulan korporat boleh berkumpul dengan selesa.

“Ramadan di SICC bukan setakat berbuka puasa, ia adalah landasan yang membawa orang ramai bersama dan menyokong ekosistem yang lebih luas,” katanya dalam kata-kata aluannya sempena pembukaan Resipi Nusantara di SICC.

Melangkaui skala kulinari, Ramadan 2026 menggambarkan komitmen luas SICC kepada libat urus komuniti dan pertumbuhan yang inklusif.

Rosmawati berkata, sempena pelancaran program buka puasa itu, SICC menghoskan iftar untuk pelajar dan penjaga dari sekolah tahfiz tempatan, termasuk Madrasah Darul Hadis DarSa Sabah, Akademi Tahfiz An Nuur dan Pusat Tahfiz Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

“Ini satu inisiatif yang mengukuhkan komitmen SICC terhadap tanggungjawab sosial khususnya pada bulan suci Ramadan,” katanya.

Program pada tahun ini turut menyaksikan SICC mengukuhkan kolabrasi dengan agensi negeri dan Persekutuan bagi menyokong ekosistem perikanan dan pertanian Malaysia

Bagi tujuan itu, Rosmawati berkata SICC menjalin kerjasama strategik bersama beberapa rakan agensi termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).

Menerusi kerjasama itu, katanya sumber hasil pertanian dan laut tempatan digabungkan menerusi tawaran Ramadan SICC bagi menyokong petani, koperasi dan komuniti nelayan sambil memastikan kualiti dan kesegaran hidangan kepada pelanggan.

“Program ini menjana permintaan bermusim, menyumbang kepada kemasukan ke pasaran yang lebih luas, kestabilan pendapatan dan visibiliti kepada pengeluar tempatan, sambil merangsang rantaian bekalan, logistik dan perniagaan kecil yang berkaitan dengan sektor hospitaliti,” katanya.

Selain ruang makan utama dalam dewan, SICC turut menyediakan ruangan makan untuk VVIP yang boleh menampung hingga 280 tetamu dan kemudahan tempat solat, menjadikan SICC antara lokasi berbuka puasa yang menawarkan kemudahan inklusif dan selesa.

Selain untuk berbuka puasa, pelanggan juga boleh bersahur di SICC yang disediakan di Meranti Cafe bermula pada 26 Februari lalu hingga 17 Mac ini.

Pada masa yang sama, SICC turut menawarkan perkhidmatan Ramadan Takeaway by SICC kepada pelanggan yang mahu menempah makanan berbuka puasa atau sungkai dan sahur, sesuai untuk makan di rumah, hadiah dan kenduri kecil.

Pengarah Operasi F&B SICC, Chef Mohd Firdaous Mohd Izhar, berkata menu hidangan SICC kali ini lebih seimbang dan pelbagai tanpa kompromi terhadap kualiti makanan dan hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan. – Info X