Search

Tujuh termasuk kanak-kanak cedera kemalangan di Lahad Datu

March 2, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tujuh individu termasuk kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Segama, menghala ke Sandakan, di sini, semalam.

Insiden kira-kira jam 2.57 petang itu membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz yang dipercayai bertembung di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 15 kilometer.

Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.17 petang dan mendapati semua mangsa sudah berjaya keluar sendiri dari kedua-dua kenderaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Seramai tujuh mangsa terlibat dan masing-masing mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa terdiri daripada penumpang dan pemandu kedua-dua kenderaan membabitkan lelaki dan perempuan dewasa serta kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal sebelum semua mangsa dihantar ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi dan keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang.

“Kesemua mangsa dilaporkan stabil dan kes diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” katanya.