KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan kemungkinan wujud ancaman sabotaj oleh kuasa atau syarikat asing terhadap negara susulan ketegangan geopolitik semasa, termasuk serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) di Dewan Rakyat berhubung potensi ancaman sabotaj pihak asing terhadap kestabilan negara.
Menurut Anwar, perkara itu sedang diteliti secara menyeluruh dan siasatan rapi sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. Katanya, walaupun perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, semua pihak tidak seharusnya membuka ruang kepada campur tangan asing yang boleh menggugat keselamatan serta kestabilan negara.
“Kita mungkin berbeza pendapat di dewan ini, bertempur dalam pilihan raya dan berbahas dalam sidang Parlimen, tetapi tidak harus mengizinkan negara atau syarikat asing digunakan untuk tujuan sabotaj,” katanya ketika membahaskan usul mengecam serangan Israel dan Amerika Syarikat di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa berwaspada dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.
Tegasnya, kewaspadaan berterusan amat penting dalam suasana geopolitik yang tidak menentu ketika ini.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut laporan portal berita Malaysiakini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 27 Februari lalu mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan polis berkaitan dakwaan kerjasama antara seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.
Menurut laporan itu lagi, isteri kepada seorang bekas menteri berada dalam pemerhatian polis susulan siasatan berkenaan.
Berdasarkan salinan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, wanita terbabit didakwa mengadakan mesyuarat dalam talian sekitar Julai tahun lalu bagi membincangkan perancangan menggunakan saluran media antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Datuk Seri Anwar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Bagaimanapun, balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainudin, iaitu Na’imah Abdul Khalid, menafikan terbabit dalam sebarang gerakan menjatuhkan kerajaan.
Beliau turut mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung dakwaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata dakwaan mengenai cubaan sabotaj itu memerlukan penelitian dan siasatan yang amat teliti memandangkan terdapat petunjuk tertentu yang membimbangkan.
“Dalam kes yang dikaitkan itu, ia perlu siasatan rapi kerana angka-angka yang ditunjukkan amat membimbangkan dan menjurus ke arah kemungkinan sabotaj,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan pendirian tegas Malaysia terhadap Iran dalam konflik di rantau Teluk boleh membawa implikasi tertentu kepada negara, khususnya dari segi ekonomi dan rantaian bekalan tenaga.
“Kita juga mungkin mengundang sedikit sebanyak kesan, termasuk dari segi ekonomi akibat perkembangan geopolitik serta peredaran dan pengangkutan minyak,” katanya.
Namun begitu, beliau menzahirkan penghargaan atas kebersamaan semua ahli Parlimen yang menyokong usul mengecam serangan berkenaan, sambil menegaskan bahawa pendirian tersebut mencerminkan suara rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Apa pun cabaran yang kita hadapi, kita hadapi bersama sebagai sebuah negara,” tegas beliau. – Info X