KOTA KINABALU: Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee, mengesahkan kandungan sepucuk surat yang dihantar kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung sokongan majoriti Ahli Parlimen Bersatu agar Datuk Seri Hamzah Zainudin dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.
Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), surat bertarikh 24 Februari yang dilihat portal itu memaklumkan bahawa 13 Ahli Parlimen Bersatu secara kolektif dan majoriti membuat ketetapan untuk terus menyokong serta mengekalkan Ahli Parlimen Larut berkenaan sebagai Ketua Pembangkang, selaras dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Datuk Seri Ronald ketika dihubungi mengesahkan kesahihan surat tersebut seperti dipetik FMT.
Surat itu turut menyatakan kesemua Ahli Parlimen Bersatu akan terus memberi tumpuan untuk mengetengahkan suara rakyat, membangkitkan isu-isu nasional serta memainkan peranan semak dan imbang, khususnya menjelang penghujung sesi Parlimen.
Lampiran surat berkenaan menyenaraikan 13 wakil rakyat terbabit iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Rosol Wahid, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, Datuk Muslimin Yahaya, Datuk Abdul Khalib Abdullah, Khairil Nizam Khirudin, Zakri Hassan, Roslan Hashim, Datuk Nordin Ahmad Ismail, Kalam Salan dan Islahuddin Abbas.
Datuk Seri Hamzah sebelum ini dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu susulan kemuncak pertelingkahan kepimpinan dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Datuk Seri Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN serta Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dilaporkan berkata Majlis Tertinggi PN bersetuju agar PAS mengambil alih peranan Ketua Pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, PAS memerlukan masa untuk meneliti perkara tersebut.
Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata Datuk Seri Hamzah masih diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang kerana PN belum memaklumkan sebarang perubahan rasmi berhubung jawatan itu.
Datuk Seri Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 2022 selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, susulan cadangan PAS meskipun Tan Sri Muhyiddin ketika itu memegang jawatan Pengerusi PN. – Info X