KOTA KINABALU: Pendekatan lama yang menetapkan Barisan Nasional (BN) mesti bertanding sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah kerusi dalam pilihan raya disifatkan sudah tidak lagi sesuai dengan realiti politik semasa.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata formula berkenaan lahir daripada era politik dominasi yang jauh berbeza dengan landskap hari ini yang lebih kompleks dan berasaskan kerjasama antara gabungan parti.
Menurut beliau, kebergantungan kepada angka semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan, sebaliknya boleh menjejaskan usaha membina kesepakatan strategik dengan rakan politik.
“Idea lama bahawa BN mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi sudah tidak lagi relevan. Politik hari ini bukan lagi soal dominasi, tetapi soal membina persefahaman dan kestabilan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengenai penjenamaan semula gabungan itu adalah tepat pada masanya kerana ia menunjukkan kesedaran bahawa perubahan menyeluruh perlu dilakukan.
Salleh menegaskan, penjenamaan semula tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya mesti mencerminkan perubahan cara berfikir, strategi serta budaya politik yang lebih pragmatik.
Katanya, dalam suasana politik semasa yang berasaskan rundingan dan kerjasama strategik, kekuatan sesebuah gabungan tidak diukur melalui jumlah kerusi ditandingi, tetapi kemampuan membentuk kerajaan yang stabil dan diyakini rakyat.
“Pengundi kini mahukan dasar yang jelas, hala tuju ekonomi yang meyakinkan, integriti dan penyelesaian praktikal. Pendekatan terlalu ideologikal atau konfrontasi bukan lagi pilihan utama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pembaharuan BN perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan keupayaan bekerjasama dengan rakan gabungan.
“Penjenamaan sebenar bermaksud beralih daripada simbol kepada substansi atau daripada mengejar angka kepada memberi hasil,” katanya. – Info X