Search

RUU had dua penggal Perdana Menteri gagal peroleh sokongan dua pertiga

March 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada bacaan kali kedua, hari ini.

RUU yang membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu hanya mendapat sokongan 146 Ahli Parlimen ketika undian belah bahagi dijalankan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, ketika mengumumkan keputusan tersebut memaklumkan seramai 44 Ahli Parlimen memilih untuk berkecuali, manakala 32 lagi tidak hadir.

“Saya bacakan keputusan belah bahagian, tidak hadir 32, tak undi 44 dan setuju 146,” katanya di Dewan Rakyat.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga daripada keseluruhan Ahli Dewan Rakyat bagi diluluskan, sekali gus menjadikan keputusan itu tidak mencukupi untuk membolehkan RUU berkenaan diteruskan ke peringkat seterusnya.

RUU berkenaan sebelum ini dikemukakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan pembaharuan institusi, termasuk mengehadkan tempoh seseorang individu memegang jawatan Perdana Menteri bagi memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam sistem pentadbiran negara. – Info X