Search

Blok Borneo tuntut keadilan pembangunan, bukan kawal sesiapa – Azrul Ibrahim

March 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Blok Borneo yang merujuk kepada gabungan Sabah dan Sarawak adalah kesatuan suara rakyat kedua-dua negeri yang mahukan pembangunan lebih adil dan seimbang dalam Persekutuan Malaysia.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata Blok Borneo bukan soal ‘mengawal’ sesiapa.

Beliau menegaskan sentimen Sabah Sarawak wujud bukan kerana emosi tetapi kerana realiti yang dirasai sejak sekian lama.

“Jurang pembangunan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat masih ketara. Di banyak kawasan luar bandar Sabah, khususnya dan Sarawak, isu asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan peluang ekonomi masih menjadi keutamaan rakyat.

“Semangat yang dibawa melalui kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah soal hak dan tanggungjawab dalam Persekutuan.

“Ia bukan kecenderungan ekstrem dan bukan juga usaha memecah-belahkan semangat persekutuan sebaliknya kebersamaan untuk memperkukuh kedudukan negeri-negeri Borneo supaya agenda pembangunan dapat diperjuangkan dengan lebih tersusun dan signifikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang mendakwa Blok Borneo bertujuan untuk mengawal Malaya.

Azrul berkata Persekutuan wajar melihat keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak secara tuntas dan berani.

Tegasnya, apabila hak Sabah dan Sarawak dipenuhi dengan adil, Persekutuan Malaysia akan menjadi lebih kuat.

“Blok Borneo adalah mengenai keseimbangan, keadilan pembangunan dan memperkukuh semangat Persekutuan, demi Malaysia yang lebih makmur dan inklusif untuk semua,” katanya. – Info X