Search

Jamawi gesa projek jalan Tenom–Pangi disegerakan selepas insiden brek kereta api gagal

March 3, 2026

Info X Reporters

TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar menggesa projek pembinaan jalan raya Tenom–Pangi disegerakan susulan insiden kereta api yang dilaporkan mengalami masalah brek tidak berfungsi, pagi tadi.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, beliau menerima maklumat berhubung kejadian membabitkan kereta api yang membawa guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi itu sejurus insiden berlaku.

“Saya mendapat maklumat berlakunya masalah brek tidak berfungsi kepada kereta api yang membawa guru-guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di atas landasan berjaya memperlahankan dan seterusnya menghentikan pergerakan kereta api berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan kecederaan diterima dan semua guru yang berada dalam kereta api itu dilaporkan selamat.

Sehubungan itu, Jamawi memohon Jabatan Keretapi Negeri Sabah menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil langkah segera bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Saya mengharapkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah mengadakan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan penumpang,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan aspek keselamatan, khususnya membabitkan guru dan penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama ke kawasan pedalaman seperti Pangi.

Dalam pada itu, Jamawi sekali lagi menggesa Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) supaya segera memulakan projek jalan raya Tenom–Pangi yang diluluskan Ketua Menteri pada awal 2025 dan difahamkan kontraktor sudah dilantik.

Katanya, pelaksanaan projek itu penting sebagai alternatif pengangkutan darat yang lebih selamat dan selesa, sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api di laluan berisiko. – Info X