Search

KESIBUKAN BEKERJA, URUS EMPAT ANAK BUKAN PENGHALANG PASANGAN SUAMI ISTERI RAIH PHD

June 26, 2022

admin

OLEH PUTRI NURUL SYAFIQAH (Pelajar Komunikasi UMS)

KOTA KINABALU: Kesibukan bekerja selain perlu mengurus empat anak yang masih kecil bukanlah penghalang bagi pasangan suami isteri Dr Suhairullah Omar Ramih dan Dr Fadzilah Patman bagi mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Pendidikan.

Pasangan berkenaan antara ribuan pelajar yang diraihkan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-23 yang berlangsung bermula semalam hingga esok.

Suhairullah dan Fadzilah mula melanjutkan pengajian pada tahun 2018 dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2021 dan sepanjang tempoh tersebut, mereka akui telah mengharungi banyak cabaran.

“Kami perlu memainkan peranan masing-masing dalam membahagikan masa antara anak dan juga tugasan.

“Walaupun isteri saya bergelar seorang pelajar, namun dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai isteri untuk menjaga anak-anak kami yang berusia 11, lapan dan tiga tahun serta yang masih kecil baru berusia dua bulan.

“Sepanjang pengajian hingga bergraduasi hari ini, Fadzilah dua kali bersalin dan kami dikurniakan dua anak sebelum berjaya menggenggam ijazah bersama,” kata Suhairullah yang bertugas sebagai Jurulatih Pusat Kokurikulum di Kiulu.

Sementara itu, Fadzilah yang bertugas sebagai guru di SK Rugading, Tuaran turut berasa gembira kerana dapat menamatkan pengajian bersama suaminya walaupun hakikatnya ramai yang tidak tahu liku-liku mereka berdua sepanjang tempoh tiga tahun pengajian.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu menghabiskan pengajian dengan sokongan daripada ibu bapa dan mentua serta anak-anak yang terpaksa menerima dan memahami situasi kami yang bergelar ibu bapa dan pelajar.

“Kami berjanji untuk meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak bagi menggantikan tempoh tiga tahun yang terpaksa dikorbankan mereka,” katanya.

Pasangan itu menerima skrol ijazah PhD masing-masing pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMS di Dewan Canselor, di sini, kelmarin. – Info X