TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengamuk dan memecahkan cermin kereta milik bapanya di Kampung Durian, Merotai Besar, di sini, membawa padah apabila dia ditahan polis, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, suspek lelaki berusia 28 tahun dipercayai bertindak agresif tanpa sebab sebelum merosakkan kenderaan milik bapanya yang diletakkan di kawasan rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.17 pagi daripada kakak suspek.
Menurutnya, pengadu memaklumkan adiknya sering mengamuk dan merosakkan barangan di rumah sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.
“Suspek juga dilaporkan kerap meminta wang dan meminjam motosikal daripada ahli keluarga sebelum bertindak agresif apabila kehendaknya tidak dipenuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi sebelum menahan suspek kira-kira jam 11.20 pagi di hadapan rumahnya di Merotai Besar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Jasmin berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas atau melakukan khianat walaupun membabitkan ahli keluarga sendiri.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan apabila berdepan tekanan atau konflik, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X