KOTA KINABALU: Projek jalan Tenom-Pangi perlu dijadikan keutamaan dengan disertai garis masa pelaksanaan yang diumum secara terbuka bagi menyelesaikan isu perhubungan di kawasan itu yang ketika ini bergantung sepenuhnya kepada kereta api.
Pelaksanaan projek itu adalah antara perkara yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook berikutan insiden kegagalan fungsi brek kereta api ketika membawa warga pendidik dari Tenom ke Kampung Pangi, baru-baru ini.
Wakil rakyat Parti Warisan itu turut menekankan perlunya audit keselamatan yang bebas dan telus dilaksanakan segera terhadap sistem keselamatan kereta api di pedalaman Sabah.
Beliau juga menggariskan kajian menyeluruh terhadap semua jalan luar bandar di seluruh negeri, khususnya laluan ke sekolah yang mesti dimulakan, selain perlunya penetapan penanda aras yang jelas bagi memastikan pembangunan infrastruktur yang saksama antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, insiden kereta api di Tenom itu tidak boleh dianggap sebagai perkara terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai amaran dasar.
“Menunggu tragedi berlaku sebelum melakukan pembaharuan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.
“Lebih enam dekad selepas Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia, negeri ini berhak mendapat standard infrastruktur yang mencerminkan sumbangannya dan martabat rakyatnya.
“Pertumbuhan negara yang seimbang tidak boleh dicapai jika komuniti pedalaman terus menanggung risiko keselamatan yang tidak seimbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, sebuah kereta api yang membawa guru dari Tenom ke Kampung Pangi dilaporkan merempuh enam motosikal troli selepas dipercayai hilang kawalan akibat kegagalan brek.
Motosikal troli terbabit dijadikan penghalang untuk menghentikan gerabak atas inisiatif penduduk kampung bagi mengelak kemalangan lebih buruk membabitkan kereta api yang menjadi nadi pengangkutan di kawasan itu.
Tham berkata, infrastruktur bukan saja mengenai kesalinghubungan, malah turut berkait dengan peluang yang saksama, keselamatan dan hak asas setiap anak dan warganegara untuk mengakses pendidikan tanpa rasa takut.
“Kita tidak boleh bergantung kepada nasib untuk melindungi anak-anak kita, kerajaan mesti bertindak sebelum tragedi berlaku,” katanya.
Beliau menyifatkan insiden kegagalan brek yang disyaki berlaku di laluan kereta api Tenom–Pangi itu tidak boleh dipandang ringan sebagai kerosakan mekanikal biasa.
Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah isyarat amaran yang mendedahkan pengabaian struktur yang berpanjangan terhadap infrastruktur pedalaman dan luar bandar di Sabah.
“Kita bersyukur tiada nyawa yang hilang. Namun, tadbir urus tidak boleh bergantung kepada nasib. Keselamatan awam mesti dijamin melalui perancangan, pelaburan dan mekanisme akauntabiliti.
“Selama beberapa dekad, Sabah, sebagai salah satu Wilayah yang paling kaya dengan sumber asli di Malaysia, telah menyumbang petroleum, gas asli, kayu balak dan pelbagai kekayaan semula jadi lain kepada pembangunan negara.
“Namun, banyak kawasan pedalaman masih bergantung kepada infrastruktur yang rapuh, usang dan tidak mencukupi. Ketidakseimbangan antara sumbangan sumber dan pelaburan semula dalam infrastruktur sepatutnya tidak berlaku di Wilayah Sabah,” katanya.
Katanya, komuniti di Tenom dan Pangi masih sangat bergantung kepada kereta api lama sebagai pengangkutan utama menyebabkan sebarang kegagalan teknikal boleh membahayakan guru, murid dan keluarga yang menuntut penyesuaian dasar secara segera.
“Perbezaan dalam Malaysia amat ketara. Di Kuala Lumpur dan bandar utama lain, guru dan murid boleh bergerak dengan selamat melalui sistem pengangkutan awam moden seperti LRT dan MRT.
“Sementara itu, di pedalaman Sabah, anak-anak masih perlu menyeberangi jambatan gantung yang tidak selamat, menggunakan rakit sementara untuk menyeberangi sungai, atau berjalan melalui laluan hutan yang tebal dan lumpur hanya untuk sampai ke sekolah,” katanya.
Tham berkata, apabila akses kepada pendidikan sendiri tidak selamat, perbincangan mengenai reformasi pendidikan, kecemerlangan dan daya saing kehilangan kredibiliti.
Tegasnya, ketidaksamaan infrastruktur secara langsung menghasilkan ketidaksamaan peluang pendidikan.
“Pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui projek lebuh raya mega dan majlis perasmian. Walaupun Lebuhraya Pan Borneo mempunyai kepentingan ekonomi strategik, jalan pedalaman, khususnya yang menghubungkan sekolah, klinik dan perkhidmatan penting, adalah soal keselamatan manusia dan keadilan sosial,” katanya. – Info X