KOTA KINABALU: Pihak Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) sedang mengesan waris bagi satu jenazah lelaki dewasa yang tidak dikenal pasti identitinya selepas disahkan meninggal dunia di wad hospital berkenaan pada 25 Februari lalu.
Jenazah lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di Medical Extension Ward hospital berkenaan kira-kira jam 1.33 petang.
Sehingga kini, tiada waris tampil bagi tujuan pengecaman atau menuntut jenazah berkenaan.
Pengarah hospital, Dr Ferro Firdaus Ibrahim, berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga lelaki dalam tempoh terdekat atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu pihak hospital.
Beliau berkata, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memudahkan proses pengecaman serta penuntutan jenazah oleh waris yang sah.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga lelaki dalam tempoh terdekat atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan dimohon untuk menghubungi pihak hospital bagi membantu proses pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenazah atau waris diminta menghubungi Unit Mortuari Hospital Queen Elizabeth II di talian 088-234600 sambungan 4000 atau 4001.
Orang ramai juga diminta tampil segera bagi memastikan urusan pengendalian jenazah dapat dilakukan dengan sewajarnya. – Info X