Search

‘Tiada pasukan dapat tewaskan Sabah FC dengan mudah’ – Juan Torres Garrido

March 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido enggan memikirkan kekalahan lalu pasukannya di tangan Kuching City apabila sekali lagi berdepan skuad negeri jiran itu dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

Beliau yang baru membimbing skuad Sang Badak sejak akhir Februari lalu berkata, fokusnya hanya terhadap perlawanan yang bakal dihadapi anak buahnya, tanpa terlalu memikirkan apa yang pernah dilakar pasukan bimbingannya pada masa lalu.

Walaupun mengakui pertemuan dengan Kuching City kali ini bukan sesuatu yang mudah, namun beliau tetap bertegas tiada pasukan yang boleh menewaskan Sabah FC dengan mudah.

“Saya tidak suka bercakap mengenai masa lalu. Sejak awal lagi objektif kami adalah memastikan tiada pasukan yang boleh menewaskan kami (Sabah FC) dengan mudah.

“Perlawanan ini pasti sengit kerana kami menentang pasukan yang kuat dan bermain di tempat lawan,” katanya mengulas persiapan skuad Sang Badak berdepan Kuching City yang ketika ini berada di tangga keempat carta liga musim ini.

Kuching City hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk naik ke tangga ketiga carta liga dan sasaran mereka sudah pasti untuk melakar detik itu ketika melayan kunjungan Sang Badak, esok.

Sebelum ini, pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak itu berjaya menewaskan Sabah FC 1-0 ketika berkunjung ke Stadium Likas dalam pertemuan pertama Liga Super kedua-dua pasukan musim ini pada 4 Oktober lalu.

Garrido turut menyatakan keyakinannya terhadap semangat anak buahnya untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan malam esok berikutan pertemuan kedua-dua pasukan Derby Borneo itu yang sering menjadi tumpuan peminat bola sepak di Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah perlawanan yang semua orang mahu bermain. Ia memberi motivasi kepada pasukan,” katanya sambil menegaskan tekad pasukannya untuk bangkit pada perlawanan itu nanti.

Katanya, skuad Sang Badak kini berada di landasan yang tepat untuk kembali menyengat walaupun berdepan jadual perlawanan yang padat selain beberapa pemain utama masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan.

Beliau mengakui situasi itu memerlukan beberapa pemain memikul tanggungjawab lebih besar apabila terpaksa beraksi penuh selama 90 minit dalam dua perlawanan setiap minggu, termasuk perlawanan di tempat lawan.

“Pasukan semakin menunjukkan peningkatan setiap hari. Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan pemain pulih secara fizikal dengan baik walaupun sesi latihan agak terhad kerana jadual yang padat.

“Namun saya sangat gembira dengan sikap dan komitmen yang ditunjukkan pemain menjelang perlawanan ini,” katanya. – Info X