KENINGAU: Hospital Keningau pada Isnin menafikan ada mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung peningkatan kes Tuberkulosis (TB) atau batuk kering di Sook dan daerah ini.
Penafian itu berikutan penularan satu infografik di media sosial berkaitan dakwaan terdapat amaran peningkatan kes TB yang membimbangkan di daerah Sook dan Keningau serta nasihat agar orang awam memakai pelitup separa muka apabila berada di kawasan tumpuan awam.
“Pihak Hospital Keningau dengan ini menafikan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh Hospital Keningau.
“Maklumat yang sedang tersebar itu bukan kenyataan rasmi daripada pihak hospital mahupun warga kerja hospital.
“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat kesihatan yang tidak tepat.
“Penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pada Isnin.
Sehubungan itu, Hospital Keningau menyarankan agar orang awam sentiasa merujuk kepada sumber maklumat yang sahih dan rasmi seperti informasi kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKNS atau kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Hospital Keningau dari semasa ke semasa.
“Hospital Keningau komited untuk terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat serta memastikan maklumat kesihatan yang disampaikan kepada orang ramai adalah tepat, berkuasa dan boleh dipercayai.
“Kerjasama semua pihak dalam memastikan penyebaran maklumat yang bertanggungjawab amatlah dihargai,” katanya. – Info X