KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Sabah lumpuh selepas 15 pemimpinnya mengumumkan keluar parti pada Isnin.
Menerusi satu kenyataan, ketua pergerakan itu, Mohd Hisyam Hazaril Mohd Azman, berkata beliau bersama Ketua-Ketua Armada Bahagian dan Ahli Jawatankuasa Armada Negeri serta Pusat, meletakkan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam ARMADA di semua peringkat.
Beliau yang juga Ketua Armada Beaufort, berkata peletakan jawatan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat serentak dengan keputusan keluar daripada BERSATU, termasuk pembubaran jawatankuasa ARMADA negeri.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira secara serius perkembangan semasa yang sedang melanda parti yang kini berdepan dengan kemelut dalaman yang semakin meruncing serta dipertontonkan secara terbuka kepada umum.
“Kami amat kecewa melihat bagaimana konflik dalaman parti semakin berlarutan dengan serangan terbuka pimpinan, kenyataan di media sosial serta pertikaian yang berpanjangan sehingga mencalarkan imej parti dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah dibawa oleh parti ini,” katanya.
Lebih membimbangkan, beliau berkata pendekatan pecat-memecat dan tindakan disiplin yang dilihat tidak konsisten serta bersifat selektif menjadi kaedah dalam mengurus perbezaan pandangan dalam parti.
“Kami dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak menyokong budaya politik sedemikian, kerana ia hanya akan memecah-belahkan parti dan melemahkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli.
“Sebagai pimpinan sayap pemuda di negeri Sabah, kami berpegang kepada prinsip bahawa ARMADA sepatutnya menjadi wadah yang menyatukan kekuatan anak muda dan memperkukuhkan parti.
“Namun dalam keadaan semasa, peranan tersebut semakin sukar dilaksanakan apabila parti terus dibelenggu dengan konflik dalaman yang tidak berkesudahan,” katanya.
Justeru itu, katanya, setelah menilai keadaan dengan penuh tanggungjawab, mereka mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai satu pendirian berprinsip bahawa maruah perjuangan tidak boleh terus dipertaruhkan dengan pertikaian dalaman yang berpanjangan.
Jelasnya, langkah itu juga adalah mesej jelas bahawa anak muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat yang semakin menjadi norma dalam parti.
“Kami merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli ARMADA di Sabah yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh memegang amanah sejak penubuhan semula BERSATU di Sabah.
“Perjuangan untuk memperjuangkan suara anak muda akan diteruskan dengan penuh tanggungjawab demi masa depan negeri dan negara.
“Apabila prinsip diketepikan dan perpecahan menjadi budaya, maka jawatan bukan lagi sesuatu yang perlu dipertahankan,” katanya.
Seramai 15 pimpinan yang meletak jawatan itu termasuk ahli jawatankuasa Armada Bersatu Sabah yang diketuai Hisyam dan Ketua Armada Bahagian, antaranya Tuaran, Sepanggar, Pensiangan, Keningau, Papar, Tawau, Putatan dan Beluran. – Info X