Search

Lebih 20,000 bungkus ‘Hero Meals’ diagih kepada mangsa banjir

March 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menggerakkan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir di Paitan, Pitas, Sook, Beaufort, Membakut, Sipitang dan Tenom.

Menerusi inisiatif Disaster Monitoring Hub (D-Hub), IDS setakat ini mengedarkan sebanyak 20,440 bungkus makanan sedia dimakan (ready-to-eat meal) bersama air minuman kepada mangsa banjir melalui penyelarasan pasukan di lapangan dan kerjasama rakan strategik.

Bagi fasa terkini, bantuan disalurkan ke empat daerah iaitu Beaufort (520 penerima), Membakut (520 penerima), Sipitang (520 penerima) dan Tenom (600 penerima).

Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul, berkata agihan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan IDS bagi memastikan bantuan sampai kepada komuniti yang memerlukan secara tersusun, cepat dan berkesan.

Sebelum ini, katanya agihan turut dilaksanakan di beberapa daerah lain termasuk Keningau, Telupid, Pitas, Sook dan Kota Marudu, selaras dengan komitmen IDS dalam memperluaskan jaringan bantuan kepada kawasan yang terjejas.

Beliau berkata, bantuan yang dikenali sebagai ‘Hero Meals’ itu adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) IDS bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara, khususnya ketika berdepan situasi bencana alam.

“Program ini dilaksanakan dengan sokongan strategik Kembara Kitchen sebagai penyedia makanan serta CIMB Foundation sebagai rakan penyumbang yang bersama-sama menjayakan usaha kemanusiaan ini.

“Melalui kerjasama itu, pek makanan sedia dimakan diagihkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan kawasan-kawasan yang terjejas bagi membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam memastikan akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mudah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramzah berkata inisiatif D-Hub bukan saja berfungsi sebagai pusat pemantauan bencana, malah turut berperanan sebagai platform penyelarasan maklum balas bantuan secara lebih sistematik dan berimpak.

“Usaha ini selaras dengan komitmen IDS dalam menyokong pembangunan sosial serta memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam situasi kecemasan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan misi bantuan itu dan berharap lebih banyak pihak akan tampil berganding bahu memperkukuh kesiapsiagaan bencana pada masa hadapan.

Sehubungan itu, IDS turut mengalu-alukan sumbangan tambahan daripada orang ramai dan pihak korporat dalam bentuk keperluan asas seperti lampin bayi, susu bayi dan tuala wanita yang amat diperlukan oleh mangsa banjir khususnya golongan bayi, kanak-kanak dan wanita di pusat pemindahan sementara. – Info X