Search

Cuaca buruk di utara Sabah dan Sandakan, banjir diisytihar di Kota Marudu

March 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk berikutan hujan berterusan di kawasan utara Sabah dan Sandakan, bermula Selasa hingga Rabu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan jabatan itu pada jam 10.30 pagi Selasa, daerah yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat.

Selain itu, kawasan pantai barat dan pantai timur, khususnya daerah Ranau dan Lahad Datu turut diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada bermula hari ini hingga esok.

Sementara itu, daerah Kota Marudu diisytihar mengalami banjir pada Selasa susulan hujan berterusan di daerah itu.

Pengisytiharan bencana itu dibuat Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara pada jam 10 pagi Selasa.

“Dengan ini berdasarkan maklumat di lapangan dan laporan yang saya terima daripada Agensi Tindak Balas JPBD Kota Marudu, saya selaku Pengerusi JPBD Kota Marudu mengisytiharkan bahawa telah berlaku BENCANA BANJIR di daerah Kota Marudu yang menyebabkan beberapa kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan hotspot mula terjejas.

“Saya juga mengarahkan agar Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka,” katanya.

Daerah itu baru saja dilanda banjir yang menyebabkan ribuan mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada pertengahan Februari lalu. – Info X