KOTA KINABALU: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan waris seorang wanita yang ditemui meninggal dunia selepas mayatnya ditemui terapung di kawasan perairan Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di sini, pada 8 Mac lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, polis menerima maklumat daripada Ketua Kampung berhubung penemuan mayat seorang wanita yang terapung di kawasan berkenaan sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
Siasatan awal di tempat kejadian kemudian mengesahkan mayat mangsa adalah seorang wanita sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan tiada waris tampil untuk membuat pengecaman terhadap mayat berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menghargai kerjasama orang awam dalam membantu menyalurkan maklumat bagi memudahkan proses pengecaman serta pengurusan selanjutnya. – Info X