SEMPORNA: Selepas operasi bersepadu dijalankan di Kota Kinabalu, Tuaran dan Tawau, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah meneruskan momentum perang terhadap dadah apabila melaksanakan Ops Gempur Khas di Kampung Bangau-Bangau, di sini, awal pagi semalam.
Operasi yang bermula kira-kira 2.30 pagi hingga 7.20 pagi itu menyaksikan pasukan JSJN IPK Sabah dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Semporna menyerbu kawasan berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Dalam operasi itu, pasukan polis berdepan cabaran apabila terpaksa melalui laluan jambatan kayu yang sempit dan agak sukar di kawasan perkampungan atas air berkenaan bagi menghampiri lokasi sasaran.

Namun keadaan itu bukan penghalang apabila anggota operasi tetap mara ke hadapan sebelum menahan tiga lelaki yang berada di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, daripada tiga lelaki yang ditahan itu, seorang disyaki pengedar dadah manakala dua lagi dipercayai penagih.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap suspek utama menemukan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu di dalam sebuah plastik hitam yang dipegangnya.

“Dadah berkenaan dianggarkan seberat 5.01 gram dengan nilai kira-kira RM551.10.
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua lagi suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang disyaki pengedar mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki di kawasan Kampung Bangau-Bangau.
“Usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.
“Semakan juga mendapati semua suspek berusia antara 24 hingga 36 tahun itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.
Alhusin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempergiat risikan serta operasi di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“JSJN Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan dadah.
“Operasi dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aktiviti ini dapat dibanteras demi melindungi masyarakat, khususnya golongan muda daripada terjebak dengan dadah,” katanya. – Info X