Search

Paitan turut diisytihar banjir

March 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Daerah Paitan sekali lagi diisytihar dilanda banjir, hari ini setelah terjejas teruk akibat bencana itu pada Februari lalu.

Bencana kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan itu diisytihar Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu pada jam 11 pagi Selasa.

“Dengan ini berdasarkan maklumat di lapangan dan laporan yang saya terima daripada Agensi Tindak Balas JPBD Daerah Paitan, saya selaku Pengerusi JPBD Daerah Paitan mengisytiharkan bahawa telah berlaku BENCANA BANJIR di daerah Paitan yang menyebabkan beberapa kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan hotspot mula terjejas.

“Saya juga mengarahkan agar Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka,” katanya.

Paitan adalah daerah kedua diisytihar banjir hari ini selepas Kota Marudu yang turut dilanda banjir gelombang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Pada Februari lalu, lebih 2,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas 39 kampung di Paitan terjejas akibat banjir.

Banjir bulan lalu itu dianggap antara paling buruk berikutan kedalamannya yang luar biasa hingga mencecah paras bumbung, selain merosakkan banyak harta benda penduduk, termasuk sekolah dan klinik. – Info X