Search

‘Ronald mahu dipecat, bukan sekadar digantung BERSATU’

March 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Mengapa sekadar digantung? Jika benar bersalah, pecat sahaja,” luah Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas digantung selama dua penggal daripada BERSATU, berkuatkuasa hari ini.

Berikutan penggantungan itu yang dibuat Lembaga Disipilin BERSATU selepas bermesyuarat semalam, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran hilang semua jawatan dalam parti.

Berdasarkan perkongsian di Facebook beliau, Ronald menyebut mengenai program RESET yang dianjurkannya sebelum ini dan kehadirannya bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri di Bangkok.

Tindakan itu dipercayai melanggar peraturan parti dan menjadi sebab utama penggantungan Ronald dalam BERSATU.

“Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat?

“Keputusan ini menguatkan lagi persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden dan kelompok kecil di sekelilingnya.

“Apatah lagi lembaga ini dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti,” katanya.

Beliau berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju BERSATU semakin jelas tersasar apabila segala tindakan seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat iaitu mengangkat Tan Sri Muhyiddin sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri ke-11.

“Sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan.

“Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut. Inilah juga yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Datuk Seri Hamzah.

“Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang sentiasa berkata ‘ya’ kepada presiden.

“Wujud puak ya-presiden ini kerana sebahagian mereka dilantik oleh presiden, maka mereka perlu setia.

“Sebahagian lagi kalah dalam pemilihan tetapi dimenangkan oleh presiden, mereka juga perlu setia.

“Dan sebahagian lagi dijanjikan watikah calon, maka kesetiaan menjadi wajib,” katanya.

Ronald berkata, beliau menyertai BERSATU sebelum ini kerana percaya ia adalah wadah perjuangan, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

“Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut.

“Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin BERSATU bertarikh 10 Mac 2026, Ronald digantung selama dua penggal atas tindakan melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Surat itu juga menyatakan Ronald dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

Ronald boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari, namun beliau sudah menyatakan tidak akan membuat rayuan. – Info X