Search

1,530 peket minyak masak cuba diseludup ke negara jiran dirampas

March 10, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyeludup 1,530 peket minyak masak ke negara jiran digagalkan dalam operasi bersepadu di perairan Singamata dan Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.

Dalam operasi itu, anggota Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak berjaya menahan sebuah bot kayu yang mencurigakan ketika melakukan rondaan laut menerusi Op Taring ESSZONE – Op Taring Bravo 3.

Batalion 22 PGA Kunak dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook malam ini memaklumkan bot berwarna kelabu itu ditahan selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot yang dikendalikan dua lelaki warga tempatan itu menemui sejumlah besar minyak masak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan menemukan 1,530 peket minyak masak bersubsidi jenama Sun Flower seberat satu kilogram setiap satu yang disimpan dalam 90 bungkusan plastik hitam.

“Turut dirampas dua gelen petrol, sebuah enjin bot Yamaha 200 kuasa kuda serta peralatan berkaitan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM67,442.

Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, Batalion 22 PGA Kunak akan terus mempergiatkan operasi risikan dan rondaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan di kawasan ESSZONE, khususnya di perairan Kunak dan Semporna. – Info X