Search

UMNO Sabah kutuk tindakan biadab hina al-Quran

March 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menghina kesucian al-Quran menerusi satu hantaran yang tular di media sosial baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop@SBY dalam satu kenyataan hari ini berkata, UMNO Sabah menyifatkan perbuatan memijak dan mencemarkan kitab suci umat Islam itu sebagai tindakan melampau yang mampu menggugat keharmonian kaum dan agama di negeri ini.


Katanya, provokasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku di Sabah yang selama ini dikenali sebagai model perpaduan masyarakat majmuk.

“Perbuatan ini adalah satu tindakan yang amat melampau dan tidak bertanggungjawab. Ia boleh mencetuskan ketegangan antara masyarakat pelbagai agama dan kaum di negeri ini yang selama ini hidup dalam suasana harmoni,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata, UMNO Sabah turut menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Exco Agama Negeri, Datuk Arifin Arif, yang mahukan perkara itu disiasat secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

Sehubungan itu, katanya mereka menggesa agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Langkah segera perlu diambil bagi memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, menurutnya UMNO Sabah meminta orang ramai agar tidak meluahkan emosi secara melampau atau mengambil tindakan sendiri yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Masyarakat diseru agar bertenang dan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional serta adil.

“Kita mesti mempertahankan kesucian agama dan dalam masa yang sama memelihara keamanan serta perpaduan yang menjadi kekuatan Sabah selama ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, UMNO Sabah akan terus berdiri teguh mempertahankan kemuliaan Islam dan kesucian al-Quran, sambil memastikan keharmonian antara penganut agama di negeri itu terus terpelihara. – Info X