KOTA KINABALU: Jenama makanan segera tempatan dari Sabah, Chunk & Dunk mencipta sejarah tersendiri apabila mengumumkan pengembangan antarabangsa pertama ke Filipina, sekali gus menandakan kemunculan global jenama itu di luar Malaysia.
Langkah itu menjadikan Chunk & Dunk sebagai rangkaian makanan segera milik anak Sabah pertama yang berjaya membuka cawangan antarabangsa, sekali gus mencipta penanda aras baharu bagi jenama tempatan dari negeri ini.
Pengasasnya, Adam Shamil, berkata perkembangan itu membuktikan jenama yang bermula di Sabah mampu berkembang ke peringkat global dengan keberanian, usaha gigih dan keyakinan terhadap visi yang dibina.
“Ini lebih daripada sekadar pengembangan perniagaan. Ia membuktikan bahawa impian yang lahir di Sabah mampu menembusi sempadan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian antara rakan kongsi Malaysia dan Filipina akan diadakan pada 22 Mac ini, jam 12 tengah hari di Atrium Utama Suria Sabah.
Majlis berkenaan dijangka menarik kehadiran antara 1,500 hingga 2,500 pengunjung termasuk delegasi dari Filipina, tokoh tempatan serta orang ramai, selain turut disiarkan secara langsung di peringkat global.
Chunk & Dunk yang diasaskan di daerah Penampang kira-kira dua tahun lalu kini berkembang pesat dengan enam cawangan setakat ini, termasuk lima di Sabah dan satu di Sarawak.
Jenama itu terkenal dengan menu croffle unik serta konsep makanan segera kreatif yang berjaya menarik perhatian pelanggan khususnya golongan muda.
Majlis berkenaan turut dijangka dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Acara itu juga akan menampilkan persembahan artis tempatan termasuk Stacy Anam, Akim Ahmad, Yazmin Aziz, Elica Paujin dan Dabra Sia, dengan pengacara terkenal Daphne Iking bertindak sebagai hos majlis.
Acara berkenaan turut disokong oleh stesen radio tempatan KUPIKUPI FM sebagai rakan radio rasmi, manakala siaran langsung akan dikendalikan oleh TV Sabah.
Chunk & Dunk mengalu-alukan kehadiran wakil media dan orang ramai untuk menyaksikan detik bersejarah itu ketika jenama berkenaan melangkah ke pentas antarabangsa buat pertama kali. – Info X