Search

Cuti tambahan 18 Mac sempena Aidilfitri

March 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan satu hari cuti tambahan pada 18 Mac ini kepada semua sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Dalam kenyataan media hari ini, kementerian memaklumkan cuti tambahan itu diberikan bagi memberi ruang kepada warga guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya menjelang perayaan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2026, sekolah dalam Kumpulan A turut diperuntukkan satu hari cuti tambahan pada 19 Mac (Khamis).

Sementara itu, sekolah dalam Kumpulan B pula diperuntukkan dua hari cuti tambahan iaitu pada 19 dan 20 Mac (Khamis dan Jumaat).

KPM berkata, tambahan cuti berkenaan diharapkan dapat memberi ruang yang mencukupi kepada warga guru, murid dan ibu bapa untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri dalam suasana yang lebih teratur.

“Langkah ini selaras dengan hasrat KPM untuk sentiasa memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan warga pendidikan,” menurut kenyataan itu. – Info X