SANDAKAN: Kira-kira 20 petak kubur di Tanah Perkuburan Jalan Sim Sim, di sini dilaporkan terjejas susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan, pagi ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 pagi dengan runtuhan dipercayai berlaku susulan hujan lebat yang berterusan sejak semalam.
Menurutnya, hasil pemantauan awal mendapati runtuhan membabitkan kawasan cerun di tanah perkuburan berkenaan.
“Kawasan jalan raya tidak terjejas kerana jarak runtuhan dianggarkan kira-kira 12 meter dari laluan utama.
“Pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar sentiasa terjamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sulaiman berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan berada berhampiran kawasan itu terutama ketika hujan berterusan berikutan risiko runtuhan susulan.
Dalam perkembangan sama, katanya anggota APM turut melakukan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir susulan hujan berterusan.
Antara kawasan terbabit ialah Batu 16, Ladang Sandakan di Batu 10 serta Batu Sapi.
“Setakat pemantauan bermula jam 2 pagi tadi, kebanyakan kawasan masih dalam keadaan terkawal dan tiada penempatan dilaporkan terjejas.
“Bagaimanapun, terdapat limpahan air di Jalan Lintas Batu Sapi yang menyebabkan gangguan lalu lintas, namun laluan berkenaan masih boleh digunakan,” katanya. – Info X