Search

Sabah layak ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2026

March 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC berjaya ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2026 selepas menewaskan Perak FA 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Skuad Sang Badak itu melakar agregat yang sama selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama separuh akhir di Manjung, Perak pada 4 Mac lalu.

Gol tunggal Sabah itu dijaringkan pemain pertahanannya, Gabriel Peres hasil tandukannya ketika menerima hantaran lintang Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit ke-22.

Sang Badak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan kira-kira 20 minit awal babak kedua dengan beberapa cubaan menarik berjaya dihasilkan namun tersasar dari pintu gawang lawan.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah lebih banyak bertahan ketika tempoh perlawanan berbaki kira-kira 25 minit berikutan asakan pasukan Perak yang berusaha menyamakan kedudukan.

Skuad Perak juga mencipta beberapa peluang hasil serangan balas pada babak pertama dan kedua, namun gerakan pemainnya dapat dipatahkan pertahanan Sabah, selain dibaca dengan baik penjaga gol, Damien Lim.

Penyerang Sabah, Darren Lok memulakan cubaan tepat ke arah gawang Perak pada minit ke-15 namun gerakannya dapat dibaca penjaga gol lawan, Ahmad Shazwan Shazany.

Bermula dari cubaan itu, Sabah mengatur strategi serangan sehingga berjaya mencipta gol pada minit ke-22, namun cubaan selepas itu oleh beberapa pemainnya, khususnya melalui Muhammad Jafri dan S Kumaahran gagal menepati sasaran.

Memasuki babak kedua, Darren Lok sekali lagi mendapat peluang yang baik untuk menambah gol Sabah ketika hanya berdepan dengan penjaga gol Perak pada minit ke-47, namun malangnya bola melantun ke atas melepasi palang gol.

Perak pula mendapat peluang yang baik ketika pengadil memberi sepakan percuma di kawasan petak penalti selepas Damien melakukan kesilapan menangkap bola ketika berlaku kekecohan di hadapan gawang pada minit ke-68.

Peluang itu bagaimanapun dapat dipatahkan pemain Sabah yang berkampung di hadapan gawang, sekali gus menggagalkan usaha pasukan lawan menidakkan kemenangan Sabah.

Perak berusaha keras menyamakan kedudukan sehingga minit akhir, termasuk lima minit tambahan masa, namun gawang Sabah kekal selamat daripada sebarang gol bolos hingga ke wisel penamat.

Sabah kemungkinan besar bertemu Pulau Pinang FC pada siangan akhir Piala Cabaran selepas ini. – Info X