KOTA KINABALU: Sebuah bas persiaran disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah selepas didapati beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
Dalam operasi di Jalan Putatan, semalam, kenderaan perkhidmatan awam jenis window van itu ditahan anggota penguat kuasa sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
JPJ Sabah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook memaklumkan, pemeriksaan terhadap bas persiaran buatan Golden Dragon X5 3.0TD itu mendapati LKM kenderaan berkenaan telah tamat tempoh selain gagal mengemukakan perlindungan insurans yang sah.
“Susulan itu, kenderaan terbabit diambil tindakan sitaan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, JPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pemandu serta pengendali kenderaan perkhidmatan awam mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan trafik boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi e-Aduan@JPJ (MyJPJ) atau menerusi sistem SISPAA JPJ,” katanya. – Info X