Search

Hibiscus Malaysia bawa keceriaan Aidilfitri kepada kanak-kanak rumah kebajikan

March 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 99 kanak-kanak daripada empat rumah kebajikan di Sabah berpeluang memilih sendiri pakaian baharu sempena Aidilfitri menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Hibiscus Malaysia, baru-baru ini.

Program itu menyaksikan sukarelawan syarikat minyak dan gas berkenaan menemani kanak-kanak terbabit membeli baju Melayu dan baju kurung bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan pakaian baharu yang dipilih mengikut cita rasa masing-masing.

Kakitangan Hibiscus bergambar bersama kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah, Kinarut.

Program berkenaan diadakan pada 7 Mac lalu di sebuah kedai tekstil di sini dengan penyertaan 15 kakitangan Hibiscus Malaysia yang diketuai Ketua Operasi Aset Sabah, Ahmad Fazmee Baharuden.

Kanak-kanak yang terlibat adalah dari Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud, Rumah Home Tuaran, Rumah Putera Harapan Ranau dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah Papar.

Kakitangan Hibiscus (berbaju biru) membantu kanak-kanak dari sebuah rumah kebajikan memilih samping mereka.

Inisiatif itu direalisasikan menerusi sumbangan kakitangan syarikat di bawah dana Zakat Wakalah.

Sepanjang program berkenaan, sukarelawan membantu kanak-kanak memilih pakaian yang sesuai dengan personaliti mereka bagi menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna.

Kakitangan lelaki membantu kanak-kanak lelaki menyelaraskan persalinan Raya termasuk baju Melayu, songkok dan samping, manakala kakitangan wanita membantu kanak-kanak perempuan memadankan baju kurung dengan tudung yang sesuai.

Kakitangan Hibiscus (berbaju biru) membantu kanak-kanak lelaki dari Rumah Putera Harapan, Ranau memilih baju Melayu mereka.

Fazmee berkata, syarikat itu kekal komited dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

Kakitangan Hibiscus bergambar bersama kanak-kanak dari Rumah Putera Harapan, Ranau.

“Hari Raya merupakan masa untuk kegembiraan dan perpaduan, dan kami mahu memastikan kanak-kanak ini turut merasai kemeriahan sambutan tersebut.

“Melihat senyuman dan keterujaan mereka benar-benar tidak ternilai,” katanya.

Kakitangan Hibiscus (berbaju biru) tersenyum ceria sambil membantu kanak-kanak perempuan dari salah satu rumah kebajikan memilih baju kurung mereka.

Sementara itu, semangat memberi itu turut diteruskan apabila sebuah lagi rumah kebajikan, Rumah Anak Yatim Tambunan, menerima sumbangan menerusi inisiatif sama.

Dalam satu majlis ringkas di pejabat Hibiscus di sini pada Rabu, Fazmee menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan asas serta kipas berdiri kepada pengetua rumah berkenaan, Noor Jannah Rusinin.

Fazmee (kanan) menyerahkan bantuan kepada pengurus Rumah Anak Yatim Tambunan, Noor Jannah Rusinin.

Sumbangan itu dijangka memberi manfaat kepada 101 kanak-kanak yang menghuni rumah kebajikan di daerah pedalaman Sabah berkenaan. – Info X