KOTA KINABALU: Sabah FC ada masa kira-kira sebulan bagi mempersiapkan diri untuk tampil dengan permainan berbeza pada perlawanan akhir Piala Cabaran menentang Pulau Pinang FC pada April depan.
Ketua Jurulatihnya, Juan Torres Garrido, berkata tempoh itu digunakan sepenuhnya memperbaiki pasukan, namun mengakui Sang Badak perlu bersedia sebaik mungkin bagi menghadapi Pulau Pinang.
“Bagi saya, perlawanan akhir nanti adalah satu permainan yang berbeza dan kita akan mempunyai pelbagai keadaan.
“Kita masih mempunyai sebulan lagi untuk bersiap sedia, jadi saya menjangkakan permainan yang berbeza nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang Perak FA di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Perlawanan itu menyaksikan Sabah menewaskan Perak 1-0 hasil jaringan pemain importnya, Gabriel Peres pada minit ke-22, sekali gus menempah tiket ke final Piala Cabaran.
Garrido berkata, masa yang panjang untuk mempersiapkan pasukan dan pemain yang cukup diharap dapat memperkuat jentera Sabah FC untuk menampilkan persembahan yang berbeza berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Pengurus Sabah FC, Muhammad Arziz Afizy Rumsani, berkata Sabah FC masih dalam proses memperbaiki pasukan dan berusaha hingga sampai ke final Piala Cabaran.
“Alhamdulillah kita menang hari ini dan kita layak ke final, banyak kerja yang kita lakukan sebelum kita sampai ke final, terutamanya kejurulatihan dan pemain dalam latihan terutama di bahagian serangan.
“Inilah yang perlu kita perbaiki dan selepas inipun masih ada perlawanan-perlawanan Liga Super di hadapan kita yang perlu kita persiapkan pasukan,” katanya. – Info X