KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di atas jambatan Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu wanita tempatan berusia 20 tahun dan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Telipok sebelum kejadian berlaku.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang berada di belakang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kanan kereta berkenaan sebelum terbabas di atas jalan raya.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 11 pagi hari sama.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan terbabit turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Puspakom.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor See Hong Ling di talian 6018-909 1014,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X