Search

Lelaki ditahan jual bahagian hidupan liar dilindungi

March 12, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjual beberapa bahagian hidupan liar dilindungi di sebuah gerai di tapak Tamu Tenghilan, di sini, dalam Operasi KUKU yang dijalankan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, pagi tadi.

Penahanan lelaki tempatan berusia 30 tahun itu dibuat dalam operasi pemeriksaan penguatkuasaan oleh pasukan Rapid Response Team (RRT) JHL Sabah, jam 8.05 pagi.

Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat Unit Risikan JHL mengenai aktiviti penjualan bahagian hidupan liar di kawasan tamu berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan di gerai suspek menemukan beberapa bahagian haiwan dilindungi yang dipercayai dipamerkan untuk dijual secara haram.

“Antara yang dirampas adalah dua kuku beruang madu, satu bahagian tangan beruang madu, satu gigi beruang madu, satu keping sisik tenggiling, satu tanduk kijang serta 16 duri landak.

“Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di bawah enakmen berkenaan, sebarang aktiviti perdagangan hidupan liar yang dilindungi perlu mendapatkan lesen atau permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Menurutnya, bagaimanapun tiada sebarang permit dikeluarkan bagi perdagangan, pemilikan atau penyimpanan spesies beruang madu dan tenggiling kerana kedua-duanya berada dalam kategori Dilindungi Sepenuhnya.

“Mana-mana individu yang didapati memiliki, menyimpan, menjual atau memperdagangkan spesies berkenaan atau mana-mana bahagiannya tanpa kebenaran adalah melakukan kesalahan di bawah EPHL 1997.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun,” katanya. – Info X