Search

ESSCOM tahan 20 PATI warga Filipina, China dalam operasi bersepadu di Semporna

March 12, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan China ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Semporna yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada 10 Mac hingga semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai penglibatan warga asing yang dipercayai mengendalikan aktiviti pelancongan serta perniagaan tanpa lesen di sekitar daerah berkenaan.

Menurutnya, seramai 231 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan yang turut memeriksa 41 resort dan premis perniagaan di sekitar bandar serta perairan Semporna.

“Hasil pemeriksaan ke atas 48 individu, seramai 20 dikenal pasti sebagai PATI sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan oleh agensi penguat kuasa dengan nilai keseluruhan hasil penguatkuasaan dan rampasan dianggarkan mencecah RM491,413.76.

Katanya, operasi bersepadu berkenaan adalah sebahagian daripada pelaksanaan Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Victor menegaskan ESSCOM akan terus memperhebat operasi selaras dengan pendekatan ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan di Sabah Timur kekal terpelihara.

Operasi itu diketuai Ketua Staf Bahagian Operasi Darat (BOD), Datuk Habibi Majinji dengan bantuan Senior Asisten Komisioner (SAC) Shariman Asri. – Info X