KOTA KINABALU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran berjumlah RM19,440, pada 2018 hingga 2019.
Tertuduh, Bakri Bibi, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elsie Primus ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Bakri didakwa dengan niat curang menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan makan dan minum untuk program anjuran AADK di Kunak berjumlah RM9,700 pada Ogos 2018 hingga April 2019.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu bagi tujuan yang sama untuk tuntutan makan dan minum program AADK di Tawau sebanyak RM4,500 pada 1 April 2019.
Pertuduhan kelima dan keenam pula membabitkan dakwaan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bayaran perkhidmatan membekal bahan binaan aktiviti gotong-royong bersama komuniti di Tawau berjumlah RM5,240 pada 23 April 2019.
Berikutan itu, Bakri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Shaharom, manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Shah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan RM4,000 sebagai deposit dan seorang penjamin tempatan.
Selain itu, tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport terhad serta tidak boleh mengganggu saksi dan proses perbicaraan.
Mahkamah menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes. – Info X