Search

Misteri bau busuk bongkar penemuan mayat lelaki

March 12, 2026

Info X Reporters

KINARUT: Misteri bau busuk yang dihidu penghuni sebuah kondominium di kawasan Puncak Gloxinia, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di kediamannya, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki tempatan berusia 32 tahun ditemui terbaring di ruang tamu kediaman berkenaan selepas pintu rumah dibuka dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau tidak menyenangkan yang dipercayai datang dari sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, susulan maklumat itu, polis bersama JBPM bertindak membuka pintu rumah yang berkunci sebelum menemui lelaki terbabit dalam keadaan tidak bernyawa.

Anggota bomba membuka pintu kediaman mangsa menggunakan peralatan khas.

“Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah.

“Selain itu, barang-barang peribadi milik si mati juga masih berada di dalam rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar.

“Kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi IPD Papar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X