Search

Segerakan pelan tindakan tangani kesan ekonomi global akibat perang – Masiung

March 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengingatkan kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi mendepani kesan ekonomi global berikutan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, menegaskan sepatutnya kerajaan Pusat sepatutnya sudah mengariskan langkah jangka pendek dan sederhana menghadapi kenaikan drastik harga minyak mentah dunia.

Beliau berkata, harga barangan keperluan termasuk bahan makanan pasti meningkat naik apabila harga minyak melambung.

“Jika kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, akhirnya peniaga akan mengambil kesempatan dan kenaikan harga barang keperluan harian menjadi tidak terkawal.

“Kenaikan mendadak minyak mentah global berpotensi mencetuskan kesan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, ketegangan geopolitik dan perang di antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran turut menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz, sekali gus menimbulkan kesan fiskal kenaikan bahan mentah di Malaysia.

Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut, mengesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi Malaysia melaksanakan dasar fiskal ekoran peperangan tersebut.

“Kesan harga bahan api dan barang import sudah mulai terasa di kalangan rakyat.

“Sekiranya peperangan berlanjutan, kerajaan harus bersedia dengan pelan fiskal tambahan bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya.

Beliau menjangkakan tekanan kewangan kepada kerajaaan juga akan meningkat termasuk kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan kerajaan.

Pengerusi Kumpulan SEDCO itu berkata, keadaan lebih kritikal apabila harga diesel meningkat, kos pengangkutan dan logistik turut meningkat dan akhirnya memberi impak kepada harga barangan di pasaran tempatan. – Info X