Search

114 PATI warga Indonesia dihantar pulang

March 13, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau, di sini, dalam Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pemindahan melalui laluan laut itu membabitkan 78 lelaki dewasa, 26 wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan yang dihantar pulang ke Nunukan, Indonesia.

“Semua Orang Yang Dipindahkan (OYD) berkenaan adalah sebahagian daripada siri pemindahan keempat yang dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah tahanan PATI di depot tahanan imigresen di negeri ini.

“Program pemindahan berkenaan turut diiringi pegawai Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau bagi memastikan proses penghantaran pulang berjalan lancar,” katanya.

Tahanan PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Tawau.

Menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini, seramai 1,653 tahanan PATI berjaya dipindahkan dari Sabah ke negara asal masing-masing.

“Berdasarkan statistik JIM Sabah, warga Filipina mencatatkan peratusan tertinggi dipindahkan iaitu 55 peratus, diikuti warganegara Indonesia sebanyak 38 peratus, Pakistan empat peratus, China dua peratus dan lain-lain warganegara satu peratus,” katanya.

Dalam masa sama, JIM Sabah menyeru masyarakat supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia termasuk portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. – Info X