Search

Isu Pan Borneo terus disuarakan selagi belum siap – Matbali

March 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Isu berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya membabitkan jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort akan terus disuarakan selagi belum disiapkan.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ketika mengulas perkembangan projek itu yang belum siap setelah bertahun-tahun dilaksanakan.

Katanya, beliau akan terus mengangkat isu itu sehingga ia selesai sepenuhnya kerana pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan di Sabah sudah jauh ketinggalan berbanding di Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan membawa isu berkenaan sekali lagi dalam perbahasan Dewan Rakyat pada Jun depan.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah penting untuk disiapkan segera kerana ia menjadi nadi perhubungan utama yang sekali gus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui pada majllis Iftar Ramadan bersama media, di sini, pada Khamis.

Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), berkata isu projek Lebuhraya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen, demi untuk menyampaikan suara naluri hati rakyat di Sabah.

“Selepas beberapa kali saya bangkitkan di Parlimen, memang ada kemajuan dari segi pelaksanaan projek ini.

“Justeru kita akan terus pantau perkembangannya, terutama di kawasan Parlimen Sipitang, iaitu jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort,” katanya.

Beliau berkata dengan cara itu, Kerajaan Persekutuan dapat memberikan jawapan dan perkembangan terkini pelaksanaannya dari semasa ke semasa.

Pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan kerajaan telah mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan.

Menurut Ahmad Maslan, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega berkenaan.

“Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak,” katanya.

Jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort di Parlimen Sipitang yang merangkumi dua pakej kerja adalah antara laluan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang ‘bermasalah’ kerana lewat berbanding jadual asal setelah dilaksanakan sejak hampir 10 tahun lalu. – Info X